Pegawai Renjer Dilatih Mengendalikan Senjata Api

Tiga Beradik Miliki Senapang Disiasat
KOTA KINABALU – Sebanyak 30 pegawai dan renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah menyertai kursus pengendalian senjata api, keselamatan dan menembak yang dijalankan Persatuan menembak Sabah dan polis.
Timbalan Pengarah II Jabatan Hidupan Liar Sabah Peter Malim berkata kursus itu bertujuan untuk membiasakan pegawai dan renjer mengenai penguatkuasaan undang-undang, keselamatan dan tanggungjawab penggunaan senjata api mengikut Akta Senjata Api 1960 (Akta 37).
“Ia menjadi semakin mencabar untuk menguatkuasakan undang-undang hidupan liar kerana pemburu haram membawa senjata api, termasuk senapang buatan sendiri atau ‘bakakuks’ di kawasan perlindungan. Penggunaan senjata buatan sendiri adalah satu kesalahan mengikut Akta Senjata Api 1960,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Laurentius Ambu berkata, seorang renjer cedera manakala dua kenderaan jabatan rosak teruk dalam satu operasi terhadap perdagangan hidupan liar di sebuah ‘tamu’ (pasar terbuka) baru-baru ini.
Beliau berkata sekumpulan orang bertukar ganas dan bertindak menghalang renjer jabatan daripada menjalankan tugas mereka dengan melemparkan parang, batu dan tumbuhan.
Ambu turut menafikan beberapa renjer telah menunjukkan senjata api seolah-olah mengancam peniaga semasa operasi memandangkan mereka telah dilatih mengenai penggunaan senjata api yang sesuai demi untuk mempertahankan diri.
Katanya, dalam satu operasi di Nabawan, renjer Jabatan Hidupan Liar merampas pelbagai spesis binatang liar terancam, termasuk rusa sambar, kijang dan musang dan menahan dua lelaki.
Sesiapa yang bercadang untuk memburu haiwan perlu memohon permit memburu, katanya sambil menambah mereka juga perlu mempunyai lesen senjata api. – BERNAMA

MH370: Kapal Selam Kecil Buru Isyarat ‘Ping’

A pinger locator on an Australian ship during the search for missing Malaysian Airlines flight MH370
PERTH – Kru mencari buat kali pertama menghantar sejenis kapal selam kecil tanpa pemandu ke dalam Lautan Hindi bagi mencuba dan menentukan sama ada isyarat yang dikesan peralatan di atas kapal Australia datanynya dari kotak hitam pesawat MH370, kata Pemangku Perdana Menteri Australia, Warren Truss, hari ni.
Truss yang memangku jawatan itu ketika Tony Abbott berada di luar negara berkata, anak kapal Ocean Shield akan melancarkan kenderaan itu, Bluefin 21 hari ini.
Kapal selam kecil itu berupaya melakar peta sonar di kawasan sasaran bagi mengesan sebarang serpihan di dasar laut.
Jika peta itu melakar kawasan serpihan, anak kapal akan menggantikan sistem sonar itu dengan kamera bagi merakamkan gambar sebarang bangkai pesawat. – AP

MH370: ‘Bidan Terjun’ Jagjit Tidak Gentar Tangani Sikap Agresif Media Asing

MH370: 'Bidan Terjun' Jagjit Tidak Gentar Tangani Sikap Agresif Media Asing
KUALA LUMPUR – Mengendalikan sidang media membabitkan kira-kira 600 wakil media tempatan dan asing menuntut Jagjit Singh Sarjit Singh menggunakan segala kemahiran yang dimiliki untuk memastikan persidangan mengenai perkembangan terkini tragedi MH370 itu berjalan lancar dan memenuhi tujuannya.
Menyifatkan pembabitannya berlaku secara ‘bidan terjun’, Penolong Pegawai Penerangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu berkata beliau bukan sahaja perlu bersedia dengan segala maklumat yang perlu tetapi juga harus bijak menangani wartawan, terutama media asing yang adakala bertanyakan soalan berbentuk provokasi.
“Tidak ada ruang untuk saya lakukakan kesalahan. Sebelum sidang media berlangsung banyak persediaan perlu saya lakukan,” katanya yang ditemui Bernama selepas ditemu ramah oleh Radio24 Bernama menerusi rancangan ‘Ala Carte Pagi’ yang dikendalikan Raifah Nabilla dan Shuhada Armawan, di sini hari ini.
Jagjit Singh yang mengendalikan sidang media mengenai MH370 itu sejak 10 Mac lepas, mengakui agak gementar apabila mengetahui dipilih menggantikan seorang pegawai lain menjadi moderator sidang media tersebut.
“Saya seakan tak percaya. Pelbagai perkara bermain di fikiran saya memandangkan ini adalah kali pertama saya menjadi moderator sidang media terbesar dan membabitkan isu besar negara,” katanya yang berdepan wakil media daripada 281 agensi dari 33 negara hampir setiap hari sejak tarikh itu.
Menurut Jagjit Singh beliau belajar daripada setiap sesi dan berusaha memperbaiki sebarang kelemahan pada hari berikutnya.
“Ada yang memuji cara saya mengendalikan sesi sidang media itu, namun tidak kurang juga mengkritik terutamanya media luar yang bertanyakan kepada saya kenapa tempoh sidang media amat singkat sehingga banyak soalan tidak dapat diutarakan,” katanya.
Bagaimanapun dengan penjelasan yang diberikannya, selain pelbagai bantuan lain termasuk mengatur temu ramah khas untuk media asing dengan pihak yang berkenaan dapat meredakan rasa tidak puas hati mereka, sekali gus memberi imej positif kepada negara, katanya.
“Saya belajar sesuatu daripada tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya itu iaitu erti sabar,” katanya sambil menambah media tempatan dilihat amat disiplin, tenang dan sopan ketika bertanyakan soalan berbanding media antarabangsa yang agak agresif dalam mendapatkan maklumat terkini berhubung insiden itu.
Hari ini sidang media terakhir diadakan di pusat media mengenai tragedi MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini selepas operasi pusat itu ditamatkan bermula esok.
Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan sebelum ini semua kenyataan akhbar selepas ini akan dihantar terus kepada media menerusi e-mel.