Pegawai Renjer Dilatih Mengendalikan Senjata Api

Tiga Beradik Miliki Senapang Disiasat
KOTA KINABALU – Sebanyak 30 pegawai dan renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah menyertai kursus pengendalian senjata api, keselamatan dan menembak yang dijalankan Persatuan menembak Sabah dan polis.
Timbalan Pengarah II Jabatan Hidupan Liar Sabah Peter Malim berkata kursus itu bertujuan untuk membiasakan pegawai dan renjer mengenai penguatkuasaan undang-undang, keselamatan dan tanggungjawab penggunaan senjata api mengikut Akta Senjata Api 1960 (Akta 37).
“Ia menjadi semakin mencabar untuk menguatkuasakan undang-undang hidupan liar kerana pemburu haram membawa senjata api, termasuk senapang buatan sendiri atau ‘bakakuks’ di kawasan perlindungan. Penggunaan senjata buatan sendiri adalah satu kesalahan mengikut Akta Senjata Api 1960,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Laurentius Ambu berkata, seorang renjer cedera manakala dua kenderaan jabatan rosak teruk dalam satu operasi terhadap perdagangan hidupan liar di sebuah ‘tamu’ (pasar terbuka) baru-baru ini.
Beliau berkata sekumpulan orang bertukar ganas dan bertindak menghalang renjer jabatan daripada menjalankan tugas mereka dengan melemparkan parang, batu dan tumbuhan.
Ambu turut menafikan beberapa renjer telah menunjukkan senjata api seolah-olah mengancam peniaga semasa operasi memandangkan mereka telah dilatih mengenai penggunaan senjata api yang sesuai demi untuk mempertahankan diri.
Katanya, dalam satu operasi di Nabawan, renjer Jabatan Hidupan Liar merampas pelbagai spesis binatang liar terancam, termasuk rusa sambar, kijang dan musang dan menahan dua lelaki.
Sesiapa yang bercadang untuk memburu haiwan perlu memohon permit memburu, katanya sambil menambah mereka juga perlu mempunyai lesen senjata api. – BERNAMA