‘Panas’ Pahang VS JDT Malam Ini…784 Anggota Keselamatan Berkawal!

'Panas' Pahang VS JDT Malam Ini...784 Anggota Keselamatan Berkawal!
MALAM ini, peminat bola sepak bakal menyaksikan satu lagi pertembungan ‘panas’ antara pasukan Pahang menentang Johor Darul Takzim (JDT) menerusi Liga Super 2014.
Bayangkan, seramai 784 anggota keselamatan akan ditempatkan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan yang akan berlangsung jam 8.45 malam itu, memetik Berita Harian.
Rasanya, ramai yang sedia maklum faktor yang menyebabkan begitu ramai anggota keselamatan ditugaskan untuk perlawanan kali ini.
Semuanya gara-gara tidak mahu peristiwa kekecohan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA musim lalu di stadium yang sama berulang kembali.
Mengimbas peristiwa ‘hitam’ pada 28 Mei 2013 itu, perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada jam 8.45 malam terpaksa ditangguhkan lebih sejam apabila ada penyokong yang menceroboh masuk ke kawasan perlawanan yang terletak beberapa meter dari padang.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut menyaksikan perlawanan tersebut kemudiannya mencemar duli selama 10 minit turun ke trek olahraga bagi meminta kerjasama daripada para penyokong supaya menjaga disiplin mereka.

Benarkah Kawasan Makam Rasulullah SAW Bakal Dirobohkan?

Benarkah Kawasan Makam Rasulullah SAW Bakal Dirobohkan?
KERJA pembinaan di masjid kedua paling suci itu di Madinah, tempat Rasulullah (SAW) dimakamkan sudah bermula.
Akhbar The Independent melaporkan, berdasarkan pelan cadangan, kawasan itu akan dibangunkan semula, termasuk pembinaan masjid yang boleh memuatkan 1.6 juta jemaah.
Pembinaan semula itu dijadual dilakukan di bahagian barat masjid sedia ada. Selain makam Nabi (SAW), kawasan itu juga menempatkan makam Saidina Abu Bakar dan Umar.
Di luar tembok bahagian barat perkarangan yang ada sekarang ialah masjid yang diabadikan kepada Abu Bakar, Omar dan Masjid Ghamama yang dibina bagi menandakan tempat Rasulullah (SAW) dipercayai menunaikan solat pertama hari raya.
Pihak berkuasa Arab Saudi tidak mengumumkan sebarang rancangan untuk mengekalkan ketiga-tiga masjid itu yang wujud sejak abad ketujuh, lapor The Independent.
Negara itu membelanjakan berbilion dolar untuk membangunkan Makkah dalam usaha untuk membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan ibadah haji dan umrah.
Lebih 10 juta orang mengunjungi bandar suci itu sepanjang tahun untuk melaksanakan ibadah berkenaan. Pada musim haji baru-baru ini, kira-kira empat juta orang menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ringgit Jatuh Teruk Berbanding Dollar Singapura, TAPI Lebih Baik Dari Baht, Rupiah

Ringgit Jatuh Teruk Berbanding Dollar Singapura, TAPI Lebih Baik Dari Baht, Rupiah
RINGGIT Malaysia mencecah rekod paling rendah berbanding dolar Singapura awal minggu ini, dengan matawang lain di rantau ini masih lemah.
Penganalisis berkata, ini disebabkan oleh aliran modal daripada pasaran membangun ke pasaran maju.
Akhbar Straits Times Singapura melaporkan rekod terendah ini dipecahkan hanya tiga hari selepas Malaysia mencapai rekod terendah RM2.622 Khamis lalu dan berada pada RM2.6207 semalam.
“Keseluruhannya, daripada segi kekukuhan kewangan, Singapura dilihat sebagai lebih kukuh. Oleh itu mata wang kita dilihat semakin rendah berbanding dolar Singapura,” kata Pengurus Besar Fundsupermart, Wong Sui Jau.
Penganalisis mata wang daripada Oanda, Wu Mingze, berkata:
“Daripada segi dasarnya, Malaysia kelihatan tidak hebat. Tetapi ia tetap lebih baik berbanding Thailand, Filipina dan Vietnam.”
Beliau berkata, walaupun Malaysia semakin menghampiri defisit akaun pertengahan tahun lalu, lebihan daripada dagangan Malaysia sedang meningkat dan boleh membantu negara.
Baht Thailand dan Rupiah Indonesia paling terkesan dengan aliran modal besar ini.