Sultan Selangor Minta Penyokong Hormati Tetamu – (Jangan Pukul Dalam Terowong)

Sultan Selangor Minta Penyokong Hormati Tetamu
KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya para pegawai, pemain dan penyokong bola sepak Selangor tidak terlibat atau menimbulkan kekecohan ketika perlawanan Liga Malaysia terutama apabila Selangor beraksi di gelanggang sendiri.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosmah Mohd Ibrahim berkata, Sultan Selangor bertitah sebarang keputusan perlawanan perlu diterima oleh semua pihak kerana itu lumrah dalam permainan bola sepak.
“Baginda meminta supaya kita sebagai tuan rumah sentiasa menghormati tetamu iaitu pemain dan penyokong pasukan dari negeri lain yang datang ke stadium kita.
“Baginda sangat berharap pemain, pegawai pasukan serta penyokong Selangor sentiasa menjaga tahap disiplin supaya tiada kekecohan ketika atau selepas perlawanan,” kata Rosman seperti dilaporkan laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Selangor di sini hari ini.
Selangor yang kini berada di tangga teratas Liga Super akan bertemu dengan pasukan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu ini.
Liga Malaysia 2014 mengalami sedikit kekecohan apabila berlaku insiden pergaduhan melibatkan segelintir penyokong Pahang dan JDT di luar Stadium Darul Makmur di Pahang baru-baru ini.
Perlawanan antara JDT dengan pasukan Kedah di Stadium Larkin di Johor malam tadi bagaimanapun berlangsung dengan suasana meriah apabila kedua-dua penyokong memberi kerjasama baik sepanjang perlawanan berlangsung.
Malah, penyokong kedua-dua pasukan dilihat menyanyi dan bersorak bersama-sama sejurus perlawanan tamat meskipun Kedah tewas di tangan JDT 3-1.