PETALING JAYA – Seorang wanita 
meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan
 kepala dipercayai dipukul teman lelakinya di rumah suspek di Lagoon 
Perdana, Bandar Sunway di sini, malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP 
Yahaya Ramli ketika dihubungi Bernama berkata mangsa, Pakizah Raja Khan,
 27, disahkan meninggal pukul 1.41 pagi Selasa ketika menerima rawatan 
di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Katanya dalam kejadian 8.50 malam Isnin,
 pengadu, 53, iaitu ibu saudara mangsa, menerima panggilan daripada 
teman lelaki mangsa, meminta pengadu pergi ke rumahnya.
“Pengadu tiba di rumah lelaki 
itu pukul 12.10 tengah malam dan mendapati mangsa sedang menahan sakit 
manakala lelaki terbabit berada di dalam rumah itu bersama ibu 
saudaranya serta seorang budak perempuan,” katanya.
Yahaya berkata pengadu membuat laporan 
polis apabila mengesyaki Pakizah, yang bekerja di pusat panggilan sebuah
 bank di Kuala Lumpur, dipukul lelaki terbabit kerana mendapati kesan 
luka baharu dan lama di badan mangsa.
“Kami sedang mencari suspek yang berumur
 30 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kes kematian itu. Semakan 
polis di rumah lelaki berkenaan di Lagoon Perdana, Bandar Sunway 
mendapati tiada penghuni,” kata Yahaya.
Sementara itu, ibu mangsa, Maimunah 
Abdullah, 49, yang ditemui pemberita di PPUM berkata ketika berada di 
rumah lelaki itu, dia melihat anak perempuannya itu sedang meronta-ronta
 sakit dan membawanya ke hospital.
“Pihak hospital memberitahu anak saya 
mengalami kecederaan di badan dan kepala sebelah kiri lembik, dipercayai
 tengkoraknya retak,” katanya sambil menambah anaknya berkawan dengan 
lelaki terbabit sejak tahun lepas. – BERNAMA