Pemilik Kilang Terbakar Serah Diri

Delwar Hossain Mahmuda Akter Bangladesh
Dhaka – Pemilik kilang pakaian di Bangladesh menyerah diri di mahkamah semalam, lebih sebulan selepas waran penangkapan mereka dikeluarkan berhubung kebakaran industri paling buruk negara itu yang mengorbankan 111 pekerja.
Delwar Hossain dan isterinya, Mahmuda Akter, didakwa dan dikenakan waran tangkap Disember lalu berhubung kebakaran pada 2012 di kilang Tazreen yang menjahit pakaian untuk peruncit Barat termasuk Walmart.
Pendakwa Anwarul Kabir berkata, pasangan berkenaan menyerah diri kepada mahkamah majistret di Dhaka dan kini ditahan sementara menantikan perbicaraan ikat jamin.
Mohon ikat jamin
“Mereka memohon ikat jamin sebaik menyerah diri. Mahkamah akan mengadakan perbicaraan berhubung perkara itu lewat hari ini,” kata Kabir.
Walaupun waran dikeluarkan pada 31 Disember, polis tidak menangkap Hossain dan Akter yang hidup bebas di Dhaka. Tidak dapat dipastikan mengapa mereka memutuskan untuk menyerah diri.
Antara 13 didakwa
Pasangan berkenaan antara 13 orang termasuk pengurus kilang dan pengawal keselamatan yang didakwa menyebabkan kebakaran, membunuh tanpa niat dan kecuaian yang mengakibatkan kematian berhubung tragedi itu.
Mereka berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Kebakaran pada November 2012 itu, yang terburuk melanda kilang pakaian, mendedahkan masalah keselamatan di sektor itu yang menjadi tulang belakang ekonomi Bangladesh, yang menyaksikan kira-kira empat juta pekerja membanting tulang untuk sektor bergaji paling rendah di dunia.-AFP