Noor Kumalasari – ‘Anita Sarawak Dan Mahathir Masih Bersama’

Noor Kumalasari - 'Anita Dan Mahathir Masih Bersama'
MUNGKIN  ramai yang menganggap ‘kehilangan’ penyanyi Anita Sarawak gara-gara pergolakan rumahtangganya dengan suaminya, Mahathir.
Desas-desus yang timbul juga menyatakan pasangan itu kerap bergaduh sejak dua tahun lalu dan dikatakan perbalahan antara mereka pernah disaksikan sendiri oleh rakan baik Anita.
Dek kerana kecewa, penyanyi itu dikatakan mengambil keputusan untuk kembali semula ke Las Vegas bagi menenangkan jiwanya.
Bagaimanapun, menerusi sisipan B*Pop, adik tirinya yang juga pelakon Noor Kumalasari memberikan penjelasan.
“Setahu saya, Anita dan Mahathir masih lagi bersama. Dan, baru tiga minggu lalu kami berbual di telefon dan saya bertanya khabar Mahathir.
“Kalau nak katakan mereka sudah lama berpisah sejak kembali semula ke Las Vegas, itu tidak mungkin. Adik saya pernah menghubungi Anita, ketika itu Mahathir yang jawab panggilan telefon. Anita pula ketika itu sedang berenang. Itu berlaku kira-kira beberapa bulan sekembalinya Anita ke Las Vegas.
“Cerita Anita dan Mahathir berpisah memang tidak betul,” tegasnya.
Noor Kumalasari menambah, pada waktu yang terdekat ini, Anita mungkin tidak akan kembali ke Malaysia kerana masih terluka dan kecewa dengan tomahan negatif.
“Setahu saya, Anita banyak menghabiskan masa bersama Mahathir selain menguruskan perniagaannya sejak dulu.
“Janganlah dengar dan percaya cerita yang tidak betul. Jika hendak tahu kebenarannya, bertanyalah pada saya dan keluarga kami. Bukannya apa, jika cerita tidak betul boleh menimbulkan fitnah.
“Harapan saya, doakanlah yang terbaik buat Anita dan Mahathir. Doakan mereka akan terus bersama hingga ke akhir hayat, bukan mendoakan mereka bercerai-berai,” pesannya.
Diharap dengan penjelasan ini, tiada lagi spekulasi atau kata-kata negatif mengenai Anita selepas ini.
Bagaimanapun, mungkin masih ramai yang berharap agar penyanyi itu sendiri akan tampil memberi penjelasan.
Paling tidak pun, cara paling mudah tanpa perlu berkata-kata ialah dengan menghantar gambar terkini bersama Mahathir untuk tatapan para peminat di Malaysia, betul tak?
Oleh: ELZA