Fizz Fairuz Demi ‘Cicakman 3′ Pakai Sut 10 Kilogram...

Fizz Fairuz Pakai Sut 10 Kilogram Dalam 'Cicakman 3'
FIZZ Fairuz mengakui sanggup menolak banyak tawaran demi memberi sepenuh komitmen terhadap filem ‘Cicakman 3′ yang merupakan arahan bersama Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar.
Fizz mengenepikan tawaran lain kerana minatnya yang sangat mendalam terhadap filem bertemakan ‘superhero’.
“Memang kerana ‘Cicakman 3′ saya terpaksa menolak banyak tawaran lain sehingga 5 Mac hadapan. Namun, kerana minat dan sukakan watak sebegini, jadi saya sanggup menerima tawaran ini. Karakter saya dalam filem ini begitu berbeza dan belum pernah dilakonkan sebelum ini,” ujar Fizz ketika ditemui di lokasi penggambaran filem tersebut di Kolej Segi, Kota Damansara, pada Khamis.
Menurut Fizz, sebagai Inspektor Adam dia perlu hadir ke set penggambaran awal satu jam bagi mengenakan kostum yang perlu digayakan dalam filem itu.
“Sut yang saya pakai itu seberat 10 kilogram dan saya mempunyai hampir 76 babak memakai sut tersebut. Saya hilang berat badan kerana mengenakan beban sebegitu ditambah pula dengan cuaca panas sekarang ini,” ujar Fizz berkongsi cerita.
Jejaka kelahiran Raub, Pahang ini menggangap pengalaman yang diperolehi ketika menjalani penggambaran ‘Cicakman 3′ sebagai sesuatu yang baru kerana Fizz bukan sahaja sukar bergerak ketika mengenakan sut tersebut, malah dia juga menghadapi kesusahan untuk ke tandas.
Malah menurut Fizz, dia sudah bersedia sekiranya ada pihak yang ingin membandingkan watak-watak ‘superhero’ dalam ‘Cicakman 3′ dengan filem lain. Fizz di majlis yang sama sempat mengumumkan tarikh resepsi serta pernikahannya bersama Almy Nadia. – GUA