SEGERA: Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang GST

Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hari ini diluluskan di Dewan Rakyat selepas ia dibacakan kali ketiga dengan 118 ahli Parlimen menyatakan persetujuan pada kali pertama
KUALA LUMPUR –  Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.
Rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali dengan undian kali pertama pembangkang memperoleh 81 undi berbanding penyokong kerajaan mendapat 118 undi.
Undian kali kedua menyaksikan pembangkang kekal 81 undi, manakala penyokong kerajaan memperoleh 119 undi.
Terdahulu ketika menggulung perbahasan rang undang-undang yang mewujudkan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata GST akan memberi implikasi positif kepada nilai eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Eksport akan meningkat 0.5 peratus kerana barang-barang eksport akan jadi murah dan kompetitif, dan KDNK secara keseluruhan akan meningkat kepada 0.3 peratus,” katanya.
Ahmad berkata struktur GST di Malaysia merangkumi pengecualian terhadap pelbagai jenis barang dan perkhidmatan yang bertujuan memenuhi keperluan rakyat di negara ini.
Ini berbeza di Singapura yang mengenakan GST ke atas semua jenis barang dan perkhidmatan kecuali perkhidmatan kewangan serta rumah kediaman, katanya.
Kadar GST sebanyak enam peratus yang ditetapkan kerajaan adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk pengurangan cukai individu, cukai korporat dan bantuan kewangan tunai, jelasnya.
Selain itu, Ahmad berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk tidak menggunakan terma ‘caj perkhidmatan’ bagi perkhidmatan di hotel dan restoran memandangkan terdapat pengguna keliru antara cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan dan pengusaha.

AUDIT: Pelbagai Peralatan Sukan SUKMA Melaka Rosak, Berkulat, Tak Diguna Lepas Kejohanan

AUDIT: Pelbagai Peralatan Sukan SUKMA Melaka Rosak, Berkulat, Tak Diguna Lepas Kejohanan
Pelbagai peralatan sukan yang digunakan pada kejohanan Sukan Malaysia ke-13 (SUKMA XIII) di Melaka didapati tidak digunakan dan rosak sejak berakhirnya kejohanan itu pada Jun 2010.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1, peralatan gimnastik, angkat berat, tinju, wushu, pencak silat dan memanah yang tidak digunakan sejak SUKMA XIII 2010 berakhir, tidak dijaga dengan baik, tidak tersusun dan tiada tempat simpanan yang sesuai.
“Menurut pegawai Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM), antara sebab peralatan tidak digunakan kerana tempat latihan sedia ada telah dilengkapi peralatan dan pemasangan peralatan gimnastik memerlukan kepakaran dan kos yang tinggi.
Kesannya, peralatan menjadi rosak, tidak mencapai jangka hayat penggunaan sebenar dan mengakibatkan kerugian kepada MSNM,” kata laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Sebagai contoh, peralatan sukan angkat berat yang disimpan di Stadium Hang Jebat didapati rosak dan berkulat serta tidak digunakan sejak hampir empat tahun lepas selain peralatan memanah di Lapang Sasar Memanah Ayer Keroh yang terbiar serta terdedah kepada hujan dan panas, katanya.
Dalam pada itu, laporan audit itu juga mendapati MSNM tidak menyediakan perancangan strategik pembangunan sukan di negeri itu.
“Perancangan strategik Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN) tahun 2013 hingga 2016 yang merangkumi strategi penumpuan sukan, pengenalpastian bakat, program latihan dan penyertaan latihan didapati hanya meliputi Program Pelapis Negeri, ini menyebabkan kesukaran untuk mengukur pencapaian pembangunan sukan secara keseluruhan di negeri Melaka,” katanya.
Pengukuran pencapaian pembangunan sukan hanya dilakukan berdasarkan pencapaian SUKMA dan petunjuk prestasi utama USPTN pada setiap tahun.
Semakan audit juga mendapati pungutan pingat emas Melaka dalam kejohanan SUKMA bagi tahun 2010 hingga 2013 tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.
Pungutan pingat emas yang tertinggi adalah pada SUKMA ke-13 iaitu 32 atau 53.3 peratus daripada 60 pingat emas yang disasarkan semasa negeri itu menjadi tuan rumah manakala masing-masing empat pingat emas pada SUKMA ke-14, 2011 dan SUKMA ke-16, 2013 selain tujuh emas (SUKMA ke-15, 2012).

AUDIT: 482 Peralatan RM2.58j Di Dua Hospital Adalah ‘Asset Not Found’

AUDIT: 482 Peralatan RM2.58j Di Dua Hospital Adalah 'Asset Not Found'
KUALA LUMPUR – Sebanyak 482 peralatan bernilai RM2.58 juta di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, dan Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar, dikategorikan sebagai ‘asset not found’ (V4L) atau peralatan tiada di lokasi.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, sehingga 31 Ogos 2013 sejumlah RM9,346 yuran masih dibayar bagi 26 peralatan V4L dan baki 419 peralatan tidak dapat disahkan status yurannya, sementara yuran untuk peralatan berstatus sama di HTF telah dihentikan.
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan pihak audit tidak dapat mengesahkan status peralatan itu kerana tiada daftar selenggara bagi memantau peralatan V4L.
“Semakan lanjut terhadap 26 peralatan V4L yang masih dibayar di HTAR mendapati Notis Untuk Mula/Tamat Perkhidmatan (SNF) telah dikeluarkan bagi 12 peralatan.
“Bagaimanapun, bayaran yuran bagi peralatan itu masih diteruskan dan jumlah lebih dibayar bagi peralatan berkenaan dalam tempoh antara lapan hingga 38 bulan ialah RM4,497,” kata laporan itu, dan menambah 14 lagi tidak dapat disahkan kerana tiada salinan SNF dikemukakan untuk semakan.
Sehubungan itu, laporan itu berpendapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu membuat laporan awal dan laporan polis setelah peralatan yang dilaporkan sebagai V4L tidak dapat dikesan selepas tempoh 30 hari seperti ditetapkan.
Kementerian juga perlu memastikan SNF dikeluarkan bagi peralatan itu untuk menghentikan pembayaran yuran peralatan berkenaan, selain pemeriksaan aset perlu dibuat secara berkala.
Berdasarkan maklum balas kementerian yang disertakan dalam laporan audit sama, 31 aset dijumpai semula di HTF manakala di HTAR sebanyak 218 peralatan dikenal pasti tiada di lokasi dan laporan polis telah dibuat, 218 perlatan dilupuskan, tiga perlatan dipindah keluar dan enam peralatan dijumpai dan masih digunakan.

Selain itu, semakan audit terhadap semua senarai ‘variation order’ (VO) mendapati yuran perkhidmatan ‘Biomedical Engineering Maintenance Service’ (BEMS) bagi 19 peralatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanank (HWKK) Sabah dan 37 peralatan di HTAR telah dituntut sebanyak dua kali, dan berdasarkan perkiraan jumlah yuran lebih bayar ialah RM43,650.
Justeru itu, laporan itu mengesyorkan supaya tuntutan balik dibuat dengan segera, manakala Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Jawatankuasa Siasatan Dalaman telah ditubuhkan dan sehingga 4 Feb lalu, sejumlah RM10,037.7 telah dikutip balik.
Semakan audit juga mendapati sejumlah RM5.74 juta yuran tambahan bagi 482 peralatan telah kurang dibayar kepada syarikat konsesi kerana tarikh mula pembayaran yuran ‘during warranty’ dan ‘post warranty’ lewat daripada tarikh sepatutnya.
Manakala, RM1.49 juta didapati telah lebih dibayar oleh kementerian bagi pembatalan atau penamatan perkhidmatan 367 peralatan.
Sehubungan itu, kementerian disyorkan untuk memastikan tarikh mula pembayaran atau penamatan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian bagi memudahkan pemantauan, mengelakkan terlebih atau terkurang bayaran selain membantu KKM merancang peruntukan atau perbelanjaan sebenar.
Kementerian Kesihatan pula dalam maklum balas menjelaskan bahawa yuran lebih atau kurang dibayar berlaku disebabkan ‘verification of variations forms’ (VVF) lewat dikemukakan pihak konsesi dan dokumen sokongan bagi yuran perkhidmatan tidak lengkap. – BERNAMA