MH370: Petunjuk Terakhir Satelit TIADA YANG SELAMAT, Saya Harapkan Keajaiban

MH370: " Petunjuk Terakhir Satelit TIADA YANG SELAMAT, Saya Harapkan Keajaiban "
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata hasil siasatan daripada lokasi terakhir dikesan satelit tidak menunjukkan bahawa ada penumpang Malaysia Airlines MH370 terselamat.
Meskipun begitu beliau mengharapkan akan berlakunya keajaiban dan meminta semua rakyat Malaysia untuk tidak berhenti berharap dan berdoa.
“Daripada spekulasi yang diterima sebelum ini dari segi teknikalnya dan petunjuk terakhir daripada satelit menunjukkan tidak ada yang terselamat.
“Namun saya masih mengharapkan keajaiban terjadi dan kita akan terus berdoa,” katanya pada sidang media di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Misi mencari pesawat MH370 yang hilang memasuki hari ke-31 hari ini membabitkan 12 pesawat dan 14 kapal yang dijangka menerokai kawasan seluas 234,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Sementara itu? Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata urusan untuk membawa waris penumpang ke Perth, Australia hanya akan dilakukan selepas objek atau serpihan MH370 dijumpai.
“Kami masih belum tetapkan tarikh itu namun memutuskan selagi serpihan pesawat tidak ditemui maka tidak akan menghantar waris ke Australia.
“Dan selain itu juga kita akan mengenal pasti waris sebenar yang akan pergi ke sana,” katanya.
?Minggu lalu, Hamzah dalam sidang medianya menolak tuntutan waris penumpang China supaya Malaysia meminta maaf kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung nasib 239 penumpang dan anak kapal yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pengumuman pada 24 Mac lalu langsung tidak menyebut bahawa pesawat itu “terhempas” mahupun “tiada yang terselamat”.
Beliau berkata Najib hanya mengumumkan bahawa penerbangan tersebut berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK. – The Malaysian Insider.

MH370: Masih Banyak Yang Diperlukan Baiki Reputasi MAS – CEO

MH370: Masih Banyak Yang Diperlukan Baiki Reputasi MAS - CEO
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya mengakui reputasi syarikat penerbangan negara terjejas selepas kehilangan MH370, terutamanya selepas mengalami kerugian.
Kehilangan misteri MH370 bukan sesuatu yang baik untuk MAS ketika ia berdepan dengan kerugian, Februari lalu syarikat tersebut mengumumkan kerugian RM1.17 bilion pada suku keempat berturut-turut untuk 2013.
“Kami masih ada banyak kerja perlu dilakukan,” kata Ahmad Jauhari dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Menurut Ahmad Jauhari, mana-mana syarikat penerbangan yang berdepan dengan krisis sekurang-kurangnya memerlukan enam bulan untuk memperbaiki reputasi mereka.
“Kami sudah pasti perlu bersatu hati bersama dan jika kamu mengetahui tentang penerbangan, ia ambil masa enam bulan untuk pulih daripada apa yang kita panggil isu reputasi pasaran,” katanya.
Perbelanjaan MAS juga terus meningkat sehingga 10% tahun lalu kepada RM14.9 bilion berikutan kenaikan harga minyak.
MAS mencatatkan kerugian paling besar dalam sejarahnya pada 2011 iaitu sebanyak RM2.52 bilion bersih.
Bagaimanapun mereka berjaya mengurangkannya pada 2012 kepada RM433 juta.
Dengan insiden terbaru melibatkan MH370, pengkritik tidak menolak MAS kemungkinan terpaksa mendapatkan bantuan daripada agensi pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, yang juga pemegang majoritinya.
Bagaimanapun, Ahmad Jauhari yakin reputasi MAS mampu dipulihkan dengan lebih cepat.
“Kami akan atasinya, malah akan atasinya lebih cepat.
“Dengan pengalaman kedudukan yang saya miliki, saya perlu lakukannya,” katanya.
Mengenai peletakan jawatannya, Ahmad Jauhari yang disoal wartawan semasa sidang media tidak memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai khabar angin tersebut.
MAS juga berdepan saingan sengit dengan pesaingnya syarikat tambang murah, AirAsia yang mencatatkan perolehan lebih baik baik berbanding mereka.
“Saya jangka ia akan beri kesan kepada sentimen pengguna,” kata penganalisis Hong Leong Investment Bank, Daniel Wong dipetik dalam Wall Street Journal selepas insiden MH370.
Selain itu, laporan juga mendedahkan pengguna yang menempah awal dengan MAS cuba menukar penerbangan mereka.
Misi mencari pesawat MH370 yang hilang memasuki hari ke-31 hari ini membabitkan 12 pesawat dan 14 kapal yang dijangka menerokai kawasan seluas 234,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi. – The Malaysian Insider

AUDIT: Kerajaan Kutip Cukai RM37Bilion Dari Hasil Petroleum

AUDIT: Kerajaan Kutip Cukai RM37Bilion Dari Hasil Petroleum
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan mengutip cukai petroleum berjumlah RM37.56 bilion setakat 11 bulan sehingga November 2013, dibantu peningkatan hasil kutipan dari sektor hiliran.
Jumlah cukai dibayar syarikat petroleum hiliran setakat Januari hingga November 2013 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) meningkat kepada RM11.18 bilion, berbanding RM10.99 bilion pada 2012 dan RM9.40 bilion pada 2011.
Manakala bagi sektor huluan, jumlah cukai dibayar setakat Januari hingga November 2013 ialah RM26.38 bilion, berbanding RM34.93 bilion pada 2012 dan RM28.15 bilion pada 2011, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 1.
Menurut laporan itu, keseluruhan jumlah kutipan cukai petroleum pada 2012 ialah RM45.92 bilion, manakala 2011 sebanyak RM37.55 bilion.
Peratusan sumbangan cukai petroleum berbanding keseluruhan kutipan cukai LHDNM masih di atas paras 30 peratus, iaitu 32.1 peratus (11 bulan sehingga November 2013), berbanding 36.8 peratus pada 2012 dan 34.3 peratus pada 2011.
Menurut laporan itu lagi, pengauditan yang dijalankan antara Jun 2013 hingga September 2013 mendapati prestasi Bahagian Petroleum LHDNM telah mencapai sasaran ditetapkan terhadap syarikat petroleum huluan dan syarikat petroleum hiliran.
Katanya, bahagian itu berjaya mencapai sasaran antara 106 peratus hingga 256 peratus bagi tempoh 2011 dan 2012.
Bagaimanapun, bagi 2013 iaitu untuk tempoh Januari hingga Jun 2013, Bahagian Petroleum baru mencapai KPI antara 32 peratus hingga 49 peratus.

LHDNM dalam laporan maklum balasnya menjelaska pencapaian KPI yang kurang untuk Januari hingga Jun 2013 adalah disebabkan kelewatan pembayar cukai mengemukakan dokumen diperlukan.
Menurutnya, mengambil kira hasil sehingga November 2013, pencapaian KPI pada 2013 telah melebihi sasaran antara 137 peratus hingga 150 peratus.
Selain itu, kes rayuan mengenai taksiran telah berjaya diselesaikan oleh pegawai audit luar dalam tempoh yang ditetapkan.
LHDNM juga telah mengambil tindakan terhadap sebahagian besar penemuan yang dibangkitkan pihak Audit, termasuk mengeluarkan surat peringatan, membenarkan bayaran tunggakan cukai secara ansuran, mengenakan kenaikan cukai kepada syarikat yang gagal membayar anggaran cukai serta syarikat yang gagal membuat anggaran cukai.
Menurut LHDNM lagi, ia juga mengenakan sekatan ke luar negara serta penguatkuasaan tindakan guaman sivil terhadap beberapa syarikat dan pengarah syarikat.
Tindakan segera ini telah membolehkan LHDNM memperolehi hasil melalui cukai tambahan dan penalti. – BERNAMA