Miri – Kerana dendam dan tidak dapat menerima hakikat hubungan
cinta terputus di tengah jalan, seorang lelaki bertindak menyebarkan
gambar bogel dan video bekas teman wanitanya dalam keadaan mengaibkan
sejak seminggu lalu.
Difahamkan, mangsa berusia 29 tahun yang bekerja di sebuah syarikat
swasta di sini, memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya sejak
awal bulan ini kerana tidak tahan sikap panas barannya.
Tindakan wanita terbabit menolak permintaan kembali menjalinkan
hubungan menyebabkan lelaki berusia 35 tahun itu berang dan menyebarkan
gambar bogel mangsa di laman sosial.
Sumber berkata, mulanya mangsa tidak mengendahkan ugutan lelaki
terbabit sehingga pada Rabu lalu dia menerima pesanan melalui WeChat
dari seorang rakan yang ternampak gambar bogelnya dimuatkan dalam
Facebook.
Lebih teruk, katanya, lelaki terbabit turut membuka sebuah lagi
akaun Facebook untuk menyebarkan gambar bogel dan video lucahnya selain
turut dimuatkan ke YouTube.
“Mangsa menghubungi lelaki itu, namun dia menafikan bertanggungjawab mengenai penyebaran gambar dan video lucah berkenaan.
“Temberang lelaki itu terbongkar apabila dia memarahi mangsa dan
memaklumkan penyebaran gambar bogel dan video lucah sebagai balasan
tindakannya memutuskan hubungan mereka,” katanya.
Berikutan itu mangsa ditemani seorang rakan membuat laporan di Balai
Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut, kelmarin. – myMetro Online