Walaupun dikatakan tenang ketika Engku Emran melafazkan cerai,
namun jauh di sudut hati, tiada siapa tahu apa yang dirasai oleh ibu
kepada Engku Aleesya ini.
“Gelora, berkecamuk, tenang atau tidak tenang, itu dalaman kita.
Orang tak boleh adili apa yang saya rasa kerana saya lalui perkara ini
dengan cara saya sendiri. Jangan anggap saya kuat kerana orang tak tahu
apa yang tersimpan di dalam hati saya. Apa yang boleh saya katakan,
berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikulnya,” tutur Erra
ketika ditemui usai rakaman ‘Primadona’, pada Selasa.
Walaupun terpaksa berhadapan dengan proses perceraian pada sebelah
tengah hari, namun pelakon ‘Sembilu’ ini tetap gigih ke set rakaman
program ‘Primadona’ pada sebelah petangnya. Erra atau nama sebenarnya
Fazira Wan Chik ini juga kelihatan tabah, tidak seperti segelintir
wanita lain yang sedih apabila terpaksa berhadapan dengan perceraian.
“Orang nampak saya kuat tapi orang tak tahu apa yang saya tanggung.
Kita tak tahu apabila air mata itu akan keluar dan tidak dinafikan, ada
masa saya rasa jatuh dan rebah. Walau bagaimanapun, kekuatan ini datang
kerana rasa tanggungjawab saya terhadap keluarga. Jika saya rebah dan
menangis depan keluarga, anak dan rakan-rakan, macam mana saya nak
tolong diri saya dan juga keluarga,” kata Erra lagi.
DALAM pada itu, berita penceraiannya mungkin
mengejutkan bagi sesetengah pihak terutama peminatnya tetapi bagi Erra
dan keluarga terdekatnya, perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan
kerana mereka sudah mengetahui apa yang berlaku dalam rumah tangganya
sebelum ini.
“Mungkin ini satu kejutan buat orang ramai tapi bukan satu
kejutan buat saya dan suami. Keluarga terdekat juga tidak terkejut
kerana mereka tahu apa yang berlaku. Saya tahu dari dulu lagi orang
dahagakan jawapan tapi saya minta maaf kerana tak dapat nak beritahu.
Apa yang pasti, sekarang ini semuanya sudah terlerai dan segala jawapan
sudah pun terjawab,” katanya memetik portal Gua.
“Saya ada sebab kenapa pendamkan perkara ini. Bukan kerana
saya mementingkan diri namun saya ada alasan yang tersendiri. Perkara
ini melibatkan hal rumah dan masalah dalaman keluarga. Itu adalah hal
peribadi dan saya tak boleh kongsi kepada semua mengenai perkara ini.
Saya harap semua orang menghormati dengan keputusan saya ini,” ujarnya
lagi.
Oleh: AUDREY LEE
LONDON – Seorang wanita dipenjara tiga tahun selepas didapati
bersalah mengebumikan secara rahsia suaminya di kawasan berbukit
berbatu.
Rebekah Sturdey dituduh berbuat demikian kerana mahu terus memperoleh
faedah saraan suaminya yang berjumlah £57,000 (RM314,712) selama lebih
empat tahun.
Wanita berkenaan yang berusia 56 tahun mengebumikan suaminya secara rahsia dengan bantuan dua rakan.
Pegawai mengesyaki sesuatu tidak kena apabila elaun hilang upaya dan
bayaran pencen berjumlah £77,318 (RM426,893) kepada Geoffrey sedangkan
kali terakhir dia dilihat ialah pada 2008.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Rebekah memberitahu penyiasat bahawa suaminya bercuti mengelilingi Eropah.
Pendakwa raya Huw Rees berkata: “Ketiga-tiga wanita itu mengebumikan
mayat Geoffrey di ladang mereka. Rebekah dan rakannya Boqer-Ore Adie
masih menuntut bayaran saraan Geoffrey sehingga perbuatan mereka
terbongkar tahun lalu.”
Boger-Ore ialah penjaga Geoffrey yang berdaftar dan dia dibayar elaun
untuk menjaga lelaki berkenaan. Pasukan forensik menghabiskan kira-kira
£20,000 (RM110,399) untuk menyiasat dari udara dan darat bagi mengesan
tempat Geoffrey dikebumikan.
ROMPIN – Tindakan pantas seorang kanak-kanak lelaki berusia
lima tahun mengejutkan ibu bersama adiknya yang sedang tidur dalam bilik
di rumah mereka berjaya menyelamatkan keluarga itu daripada rentung
dalam kejadian kebakaran di penempatan Program Pemulihan Rakyat
Termiskin (PPRT) Kampung Penyabong, Endau, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian sekitar jam 3.15 petang itu turut memusnahkan hampir
keseluruhan rumah milik Abdul Halim Ponggulin Abdullah, 41, dan
pasangannya Nora Taha, 31.
Difahamkan, anak lelaki sulung pasangan berkenaan, Haris, telah
mengesan api yang bermula dari bilik tengah rumah itu dan bertindak
pantas mengejutkan ibu serta adiknya, Hakim, 3, sambil menjerit meminta
tolong.
Ketika kejadian, Abdul Halim yang juga saudara baru itu tiada di
rumah kerana keluar melihat bubu ikan yang dipasang di sekitar pantai
Penyabong.
Menurut Nora, sebaik dikejutkan anak sulungnya itu dan memberitahu
bahawa bilik di bahagian tengah rumah terbakar, dia terus bergegas
keluar menyelamatkan kedua anak lelakinya.
“Mujur tindakan pantas Haris mengejutkan saya sebaik terhidu bau asap
berjaya menyelamatkan kami sekeluarga. Saya juga cuba menyelamatkan
barang serta dokumen penting yang lain namun hanya sebiji tong gas dan
injin bot berjaya diselamatkan, manakala peralatan lain semua hangus
terbakar.
“Saya tidak mampu berbuat apa-apa, tambahan pula api marak dengan
cepat pada masa itu dan saya hanya mampu menangis mengenangkan nasib
menimpa kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Nora berkata, ketiadaan suaminya ketika kejadian menyebabkan dirinya
buntu manakala jiran yang cuba membantu tidak berjaya mengawal api
daripada memusnahkan rumah.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Endau,
Pegawai Bomba Kanan 1, Sulong Khaled, berkata sebaik menerima panggilan
kecemasan, sebuah jentera dengan lapan anggota dikejarkan ke tempat
kejadian bagi memadamkan kebakaran.
“Sebaik tiba, api sudah mula marak dan sebahagian besar rumah sudah
terbakar, namun kami berjaya mengawal api dari merebak dalam masa 15
minit sebelum berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran kira-kira 85
minit kemudian,” katanya.
Beliau berkata, punca dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan. - Sinar Harian