Polis buru orang pertama sebar gambar Nursyafiqah di internet

KUALA LUMPUR: Pihak polis sedang memburu individu pertama yang disyaki menyebarkan gambar mayat kanak-kanak berusia dua tahun yang ditemui mati di dalam sebuah rumah kosong di Taman Perumahan Permint Seberang Paka, Terengganu semalam.
Nursyafiqah Abdullah
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan ketika dihubungi menafikan gambar datangnya dari sumber polis dan mengutuk keras perbuatan yang dianggap tidak sensitif oleh individu terbabit.
Gambar itu turut mendapat kritikan ramai di laman sosial sejurus ia dimuat-naikkan.
“Kami tidak tahu identiti orang pertama yang menyebarkan foto itu di media sosial. Kemungkinan orang yang mengambil gambar tersebut sampai ke tempat kejadian lebih awal daripada pihak polis. Kami tidak pasti. Kami masih sedang menyiasat,” Manoharan memberitahu Astro AWANI.
Nursyafiqah Abdullah yang dilaporkan hilang sejak 17 Januari lalu, ditemui oleh seorang pengawal keselamatan dalam keadaan mula mereput selain ada kesan darah kira -kira jam 3.30 petang.
Ibunya Rabiatul Adawiyah Mamat, 28, sebelum itu dilaporkan meninggalkan kanak-kanak itu didalam keretanya yang tidak berkunci, untuk bertemu dengan rakannya di sebuah restoran di Kuala Paka.
Apabila dia kembali ke keretanya, anaknya itu didapati hilang.
Rabiatul Adawiyah yang membuat laporan polis kemudiannya, memberitahu pihak polis yang dia pernah mendapat ugutan bunuh sebelum ini.
Tindakan penyebaran foto kanak-kanak itu di laman media sosial dipersoalkan oleh banyak pihak termasuk mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Musa berkata perbuatan itu menunjukkan orang yang menyebarkannya tiada perasaan dan suka dengan keganasan.
Laporan Asal suarainsan

Dihalau Turun Pentas Kerana Bertudung, Marinaatasha Buat Laporan Polis

Isu yang sangat menarik untuk diketengahkan walaupun penyanyi yang terlibat di dalam kontroversi ini tidak dikenali ramai. Kami memang sedih apabila membaca apa yang terjadi terhadap Marinaatasha. Penyanyi bertudung ini dihalau turun pentas semata-mata kerana penampilannya yang bertudung. Agak pelik kerana perkara ini berlaku di Malaysia yang terkenal dengan kemajmukan masyarakat dan konsep 1Malaysia.
marinaatashaInsiden ini berlaku di majlis makan malam sebuah syarikat hartanah Ahad lalu. Di hadapan 100 orang tetamu, Marinaatasha diarahkan turun dari pentas oleh seorang pegawai kanan syarikat tersebut. Tindakan tidak masuk akal ini bagi Kami memang menjatuhkan maruah Marinaatasha selain ia berbaur rasis dan diskriminasi terhadap wanita bertudung. Kata Marinaatasha kepada Mstar Online:-
Saya rasa sangat malu kerana sudah bersiap sedia mengambil tempat di atas pentas dengan mikrofon dan terpaksa mengemaskan buku nota lirik dan turun apabila diminta berbuat demikian. Bayangkan perasaan saya diperlakukan begitu hanya kerana pihak penganjur tidak suka penyanyi bertudung membuat persembahan pada acara itu.
Jika benar mereka tidak menyukai saya bertudung mengapa tidak bangkitkan isu berkenaan semasa sesi latihan? Hanya semasa pada majlis berlangsung, seorang pegawai kanan syarikat berkenaan memberitahu imej saya tidak bersesuaian dengan majlis tersebut sedangkan ada tetamu yang datang berhijab.
Saya tidak faham mengapa tidak dibenarkan membuat persembahan kerana imej saya bertudung sedangkan pengerusi syarikat itu yang turut hadir adalah orang Melayu. Malah beliau mahu saya membuat persembahan tetapi dihalang pihak pengurusan syarikat berkenaan
marinaatasha
Laporan polis telah pun dilakukan oleh Marinaatasha di Balai Polis Kepong pada 19 Januari lalu. Tak sangka pada era penuh maju masih ada pihak yang bersikap sebegini. Diharap perkara ini dapat diketengahkan dan mendapat perhatian daripada pihak sewajarnya. Shila Amzah dan Yuna pun bertudung juga tetapi tak pernah pun dihalau di negara orang. Agak memalukan insiden ini berlaku di Malaysia, sebuah negara Islam.
Laporan Asal beautifulnara

Beberapa bulan selepas kedua-dua mereka sah bernikah - Datuk Yusof Haslam

PENERBIT Skop Productions, Datuk Yusof Haslam merancang untuk mengadakan majlis resepsi persandingan anak-anaknya Syamsul dan Syafiq secara serentak iaitu pada Jun depan, beberapa bulan selepas kedua-dua mereka sah bernikah.
Yusof, 60, berkata, majlis resepsi berkenaan dirancang untuk diadakan dalam suasana sederhana bagi mengelak daripada berlakunya pembaziran.
“Setelah berbincang, kami bersetuju untuk mengadakan sebuah majlis sahaja melibatkan perkahwinan Syamsul dan adiknya Syafiq. Itu pun cukuplah sekadar secara sederhana agar tidak membazir.
“Bagaimanapun hasrat ini belum dibincangkan lagi dengan Syamsul,” katanya ketika ditemui pada pelancaran drama Gerak Khas musim baharu, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Selasa.
Syamsul bakal bernikah dengan pelakon Puteri Sarah pada penghujung Mac ini, manakala adiknya Syafiq pada sekitar April iaitu sebulan kemudian.
Sementara itu, bercakap tentang bakal menantunya, Yusof berkata kedua-duanya adalah berasal daripada keluarga yang ‘baik-baik’ dan berpendidikan tinggi.
“Alhamdulillah kedua-dua pilihan mereka daripada keluarga yang bagus. Puteri Sarah pun seorang yang baik dan sentiasa ingin berubah ke arah menjadi lebih baik.
“Pilihan Syafiq pula daripada keluarga yang mempunyai pendidikan agama yang tinggi, bagus juga untuk dia, saya hanya doa yang terbaik,” katanya.
Walaupun sentiasa berasa bimbang melepaskan anak-anaknya untuk membina keluarga, namun dia yakin mereka mampu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua rumah tangga dengan baik.
“Saya harap lepas ini kehidupan mereka lebih terurus, kalau nak kata bimbang itu ada juga, tapi kalau fikir balik dalam hubungan suami isteri tidak semua indah sahaja.
“Apa yang penting mereka akan berubah menjadi orang yang lebih baik,” katanya.
Tambahnya, selepas berkahwin Syamsul akan tinggal di rumah berasingan, sementara Syafiq memilih untuk menetap bersama keluarga di Taman Melawati di sini.
Pada 12 Januari lalu, Syamsul telah merisik Puteri Sarah dalam satu majlis yang diadakan di kediamannya di Sri Damansara, dekat sini. - mStar