Seksi - Sudah lah seksi, jahil pulak tu...

Sydney: Nasib menyebelahi model Lara Bingle semalam apabila hukuman penjara enam bulan yang dikenakan terhadapnya ditangguhkan mahkamah.

Kekasih pelakon Avatar, Sam Worthington itu sebelum ini didakwa di mahkamah kerana kesalahan memandu.

Lara, 26, turut didenda A$2,000 (RM6,046) selepas mengaku salah atas dua tuduhan memandu menggunakan lesen yang dibatalkan.

Majistret Claire Farnan juga mengharamkan model itu daripada memandu selama dua tahun.

Malah, Claire menegur model terbabit supaya tidak menganggap statusnya sebagai selebriti tidak membolehkan dia terlepas daripada hukuman jika melakukan kesalahan.

“Undang-undang ini terpakai untuk setiap anggota masyarakat, bukan untuk menyusahkan pemandu,” katanya.

Claire turut menegur rekod pemanduan Lara yang “teruk.” Sementara itu, peguam Lara Michael Ainsworth mendakwa model itu tidak menyedari lesennya dibatalkan ketika diarahkan berhenti oleh anggota polis trafik pada September 2012.

Dia turut dihentikan polis ketika memandu pada Oktober dan November tahun lalu kerana memandu tanpa lesen.

“Anak guam saya agak jahil mengenai perkara membabitkan pentadbiran kerana selalunya semua itu diuruskan orang lain bagi pihaknya,” katanya.

Lara berpindah ke New York sejak mula menjalinkan hubungan dengan Worthington, 37, tahun lalu.

Pada Februari lalu, Worthington turut dihadapkan ke mahkamah kerana menumbuk seorang jurugambar di New York.

Bagaimanapun, Worthington mendakwa melakukan perbuatan itu untuk melindungi Lara.- AFP