Serius: Kerana kekasih “Awang Hitam” seorang wanita sanggup lawan Imigresen

Kuala Lumpur: Cinta yang mendalam terhadap kekasih ‘Awang Hitam’ membuatkan seorang wanita tempatan sanggup melawan tindakan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor daripada menahan teman lelakinya yang berasal dari Sierra Leone dalam satu operasi di tiga lokasi berasingan, malam kelmarin.
Dalam operasi yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil bersama dua pegawai kanan dan 31 pegawai itu, seramai 18 lelaki dan 13 wanita warga asing ditahan di tiga lokasi iaitu Seksyen 4 Bangi, Putra Perdana dan Sunway.

Gambar Hiasan Carian Google
Othman berkata, serbuan pertama dilakukan di kawasan perniagaan tepi jalan yang dimonopoli warga Indonesia yang menjalankan perniagaan kedai runcit dan restoran di Seksyen 4 Bangi.
Katanya, kebanyakan kedai itu dimiliki rakyat tempatan bagaimanapun disewakan kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan.
“Ketika serbuan di Putra Perdana, sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki warga Seirra Leone bersama kekasihnya yang juga wanita tempatan melanggar van dinaiki pegawai imigresen dalam cubaan melarikan diri sebaik diarah berhenti untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, usaha mereka gagal dan apabila anggota cuba menahan lelaki warga asing terbabit kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan, kekasih lelaki itu melawan dengan cuba menarik teman lelakinya itu daripada digari,” katanya ketika ditemui selepas operasi.
Beliau berkata, selepas diberi penerangan, wanita itu akhirnya akur.
“Ketika serbuan terakhir di sebuah pusat hiburan di Sunway Piramid, lebih 15 wanita dan lelaki warga asing dari Nigeria dan Uganda yang sedang leka berhibur bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa menjalankan operasi.
“Ada antara mereka yang sanggup menggadai nyawa dengan berlari ke arah jalan utama di hadapan pusat beli-belah itu untuk melarikan diri malah ada yang bergelut dengan pegawai penguat kuasa selepas ditahan,” katanya.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, kebanyakan daripada mereka dikesan melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh, salah guna pas lawatan sosial, dokumen palsu dan malah ada yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Seramai 16 daripada mereka adalah warga Indonesia, Nigeria (enam), Uganda (empat), Bangladesh (dua) manakala seorang daripada Sierra Leone dan Vietnam.
“Semua yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.